Ahad, Ogos 31, 2014

HADITH SOHIH


Al-Qur'an dan al-Hadith merupakan dua sumber ilmu yang terdapat di dalam Islam.Segala ilmu yang bersumberkan nas-nas al-Qur'an dan al-Hadith dikenali sebagai ilmu naqli. Kebenaran yang terkandung di dalamnya merupakan kebenaran yang bersifat mutlak dan di luar jangkaan pengetahuan manusia.

Pengumpulan hadith-hadith Nabi S.A.W sebagai sumber rujukan Islam dimulai
oleh Ali bin al-Mawafi ( 234 H ) iaitu guru kepada Imam al-Bukhari. Bermula daripada situlah lahirnya usaha-usaha untuk memisahkan hadith-hadith yang benar dan palsu yang terdapat dalam masyarakat.

Ekoran itu maka lahirlah beberapa kitab Hadith yang masyhur seperti al jami’ as Sahih susunan Imam al-Bukhari ( 256 H ) dan al Jami’ as-Sahih susunan Imam Muslim ( 261 H ) . Kedua-dua kitab tersebut dikenali dengan nama as-Sahahain الصحيحين) ).

Selepas kitab ini maka lahirlah pula empat buah kitab yang di namakan As-Sunnan al-Arba’ah ( السنن الإربعة ) iaitu Sunan Abi Daud ( 275 H ), Sunan Al Tirmizi ( 271H ), Sunan An-Nasa’i ( 303 H ) dan Sunan Ibnu Majah ( 277 H ). Kitab-kitab as-Sahahain dan Sunan al-Arba’ah ini juga dinamakan oleh ulamak sebagai al-Kutub as-Sittah

Ternyata dalam perkembangan ilmu hadith Imam al-Bukhari dan Imam Muslim
telah mendokong pengumpulan hadith-hadith sahih yang datang daripada Nabi Muhammad S.A.W.

Kitab-kitab sahih al-Bukhari dan Muslim telah memuatkan beratus-ratus kategori
dari berbagai-bagai bab yang menyentuh persoalan iman hinggalah kepada akhlak.
Penggumpulan kepelbagaian hadith-hadith ini telah banyak membantu umat Islam
membuat rujukan dalam bidang-bidang yang berkenaan.

PEMBAHAGIAN HADITH KEPADA SAHIH, HASAN, DHAIF

HADITH SAHIH

Hadith yang mempunyai sanad  yang berhubung daripada seorang perawi kepada perawi yang lain sehingga ke akhir sanad  melalui perawi-perawi yang adil dan dhabit. Hadith itu pula tidak syaz dan ‘illah (tidak cacat).

Hadith sahih adalah termasuk di dalam senarai hadith yang diterima ( Hadith Maqbul )

HADITH HASAN

Menurut  al-Hafiz Ibn Hajar   al-asqalani hadith hasan ialah hadith yang mempunyai sanad yang berhubung daripada seorang perawi kepada perawi yang lain sehingga akhir sanad, melalui perawi-perawi yang adil  tetapi tidak dhabit iaitu mempunyai ingatan yang kurang sempurna, tidak syaz dan tidak mempunyai ‘illah.

Hadith Hasan juga termasuk di dalam senarai hadith yang diterima ( Hadith Maqbul )

CIRI – CIRI  HADITH-HADITH HASAN

Hadith hasan memerlukan lima perkara yang berikut:
1. Perawi setiap hadith itu mestilah berhubung diantara satu dengan yang lain.
2. Perawi itu mestilah adil.
3. Perawi itu tidak mempunyai kekuatan ingatan yang sempurna.
4. Terhindar daripada syaz.
5. Tidak mempunyai ‘illah.

HADITH DHAIF

Hadith dhaif ialah hadith yang tidak mempunyai ciri-ciri hadith sahih dan hasan.
Kedhaifan sesuatu hadith sama ada disebabkan sanadnya tidak berhubung atau kerana sebab yang lain.

Hadith Dhoif merupakan hadith yang tidak diterina ( Hadith Mardud ) lantaran kerana ianya tidak memenuhi syarat – syarat Hadith Maqbul.

SYARAT-SYARAT PENERIMAAN HADITH-HADITH SAHIH



1. Perawinya Bersifat Adil
2. Perawinya Mempunyai Ingatan Yang Sempurna
3. Sanad Hadith Bersambung Dan Sentiasa Berturutan
4. Terhindar Daripada Syaz (Tidak Janggal)
5. Tidak Ber'illah ( Cacat )

TARAF HADITH SAHIH
Imam al-Nawawi membahagikan hadith-hadith sahih itu kepada 7
bahagian, mengikut turutan antaranya:

i. Hadith-hadith yang diriwayatkan yang disepakati antara al-Bukhari dan Muslim.
Ii Hadith yang hanya diriwayatkan oleh al-Bukhari sahaja..
iii. Hadith yang diriwayatkan oleh Muslim sahaja.
iv. Hadith yang memenuhi syarat yang dikenakan oleh al-Bukhari dan Muslim  walaupun hadith berkenaan tidak diriwayatkan oleh mereka

v. Hadith-hadith yang memenuhi syarat yang dikenakan oleh al-Bukhari sahaja.
vi. Hadith yang memenuhi syarat yang dikenakan oleh Muslim sahaja.
vii. Hadith yang dihukum sahih oleh imam lain (ulama).
  
KITAB-KITAB HADITH SAHIH
Antara kitab-kitab yang dikumpulkan untuk hadith sahih ialah:
i. Sahih al-Bukhari
ii. Sahih Muslim
iii. Sahih Ibn Huzaimah
iv. Sahih ibn Hibban
v. Al-sunan as- Sahahu li Sa’di Ibn as- Sukan

PEMBAHAGIAN HADITH SAHIH
Hadith sahih terbahagi kepada dua iaitu sahih li zatih dan sahih li ghairih.

SAHIH LI ZATIHI

Sahih li zatih ialah hadith yang asalnya sahih dan kesahihannya itu sesuatu yang asal bukan disebabkan oleh sebab faktor yang lain. Keseluruhan perawi-perawinya
adalah thiqah (adil dan dhabit) dan yang thabit pula pengambilan hadith daripada seorang perawi kepada gurunya iaitu bersambung antara setiap perawi. Ianya  tidak mempunyai sebarang kecacatan yang boleh menjejaskan kesahihannya. Dengan kata lainnya, hadith ini mencukupi syarat bagi hadith sahih.

Hadith sahih li zatih (sahih dengan sendirinya) juga hadith yang memiliki sifat-sifat qabul yang paling tinggi. Secara jelasnya hadith ini mempunyai kesinambungan pada sanadnya, pemindahan hadith tersebut dilakukan oleh seorang perawi yang adil, sabar dan sempurna dari awal hingga akhir, setiap daripada gurunya dan hadith ini juga diakui kesahihannya oleh imam yang mentashihkan hadith.

SAHIH LI GHAIRIHI

Sahih li ghairihi asalnya daripada hadith hasan, tetapi disebabkan terdapat tariq lain yang yang meriwayatkan hadith ini, maka martabat hadith meningkat menjadi sahih. Oleh itu ia dinamakan hadith sahih li ghairih.

Hadith sahih li ghairih ( sahih kerana yang lain ) juga dikira sebagai hadith yang sahih berdasarkan kepada perkara luar dan hadith berkenaan tidak mempunyai sifat-sifat qabul yang paling tinggi




  

Tiada ulasan: