Sabtu, Ogos 02, 2014

KAABAH

Baitullah Al Haram ataupun Kaabah adalah bangunan paling mulia dalam Masjidil Haram, menjadi kiblat seluruh kaum muslimin di dalam solat mereka. Kaabah adalah rumah ibadat pertama yang dibina di muka bumi.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya rumah ibadat pertama yang didirikan untuk manusia adalah yang terdapat di Bakkah, yang penuh keberkatan sebagai petunjuk kepada seluruh alam. Padanya terdapat tanda kekuasaan Allah, Maqam Ibrahim, barang siapa yang memasukinya ia dijamin keamanannya.”
Bangunan Kaabah dibina daripada batu batan yang diambil daripada lima gunung iaitu Gunung Lubnan, Tur Zalta, Tun Sina, Judi dan Hira’.
Menurut sebahagian ulama, sebelum pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim, Kaabah dibina sebanyak tiga kali iaitu oleh malaikat, Nabi Adam dan Nabi Shith. Kaabah hasil binaan Nabi Shith kekal beribu tahun lamanya sehinggalah banjir besar pada zaman Nabi Nuh memusnahkannya.

Pembinaan semula Kaabah oleh kaum Quraish

Rasulullah mengambil bahagian dalam salah satu daripada pembinaan semula ini sebelum baginda menjadi Rasul. Selepas satu banjir kilat, Kaabah mengalami kerosakan dan dindingnya retak. Ia perlu dibina semula. Tugas ini dibahagikan antara empat puak Quraish. Rasulullah turut membantu dalam usaha pembinaan semula ini. Setelah dinding-dindingnya dibina semula, tiba masanya batu hajar aswad diletak semula di tempatnya di dinding Timur Kaabah.

Pertelingkahan berlaku apabila tiba masa untuk menentukan siapa mendapat penghormatan meletakkan batu hajar aswad itu. Apabila pertelingkahan hampir bertukar menjadi pergaduhan, Abu Umayyah, penduduk tertua Makkah, mencadangkan agar lelaki pertama yang memasuki pagar masjid pagi keesokkannya akan menentukan perkara berkenaan.

Lelaki itu ialah Rasulullah. Penduduk Makkah bergembira. "Ia adalah al-Amin. Ia adalah Muhammad," jerit mereka. Baginda menghampiri mereka lalu mereka memintanya supaya memutuskan perkara itu. Baginda bersetuju.Rasulullah mencadangkan agar batu hitam itu diletak di atas sehelai kain, setiap bucu kain dipegang oleh seorang pemimpin puak. Kain itu diangkat ke tempat batu itu hendak diletak. Rasulullah kemudian mengambil batu itu dan meletakkannya di tempatnya di dinding Kaabah.
Menurut Al-Nawawiyy, Kaabah dibina sebanyak lima kali, pertama oleh malaikat atau Nabi Adam atau Shith bin Adam seperti yang di sebut al-Suhailyy, kedua binaan Nabi Ibrahim, ketiga binaan Quraisy, keempat binaan Ibn Zubair dan terakhir binaan al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqaflyy. Struktur binaan terakhir inilah yang ada hingga ke hari ini.
Namun, binaan Kaabah sebenarnya pernah mengalami pembaikan besar pada zaman Sultan Murad Keempat daripada pemerintahan Uthmaniyyah. Pada tanggal 19 Syaaban 1039 Hijrah, berlaku banjir besar yang menyebabkan seramai lebih daripada 1,000 jemaah terkorban. Pembaikan itu siap pada Ramadan tahun berikutnya.
Pada zaman pemerintahan Kerajaan Saud, Kaabah mengalami dua kali pembaikan iaitu ketika pemerintahan Raja Saud bin Abd Aziz pada 1377 Hijrah/1956 Masihi kerana berlaku keretakan di beberapa bahagian dinding dan bumbung Kaabah. Baginda memerintahkan supaya pembaikan dilakukan.
Kedua, pada zaman pemerintahan Raja Fahd bin Abd Aziz. Kaabah sekali lagi mengalami kerosakan akibat binaannya yang terlalu lama sejak zaman Sultan Murad IV. Lantaran, pada 1417 Hijrah/1996 Masihi baginda memerintah pembaikan dilaksanakan.


Ketinggian binaan Kaabah adalah 14 meter, manakala panjangnya Hajarul Aswad ke Rukun Iraqi adalah 12.84 meter. Ukuran dari Rukun Iraqi ke Rukun Syami adalah 11.28 meter. Ukuran di antara Rukun Syami dan Rukun Yamani adalah 12.11 meter, manakala ukuran panjang antara Rukun Yamani hingga ke Hajarul Aswad adalah 11.52 meter.

Terdapat pelbagai nama dan panggilan yang merujuk kepada Kaabah. Kepelbagaian nama itu menunjukkan kehebatan dan kemuliaan Kaabah. Antaranya:
1) Al-Bait – yang bermaksud rumah.
2) Baitullah – yang bermaksud rumah Allah.
3) Al-Bait al-Haram – yang bermaksud rumah yang mulia.
4) Al-Bait al-Atiq – yang bermaksud rumah lama yang mulia.
5) Al-Qiblah – yang bermaksud kiblat.

Rasa cemburu dan irihati umat manusia berkunjung dan tawaf di Kaabah telah menyebabkan Raja Abrahah dari negeri Yaman mengarahkan tentera bergajahnya menyerang dan menghancurkan Kaabah. Namun begitu usaha mereka ini gagal sebaliknya mereka telah dihancurkan menjadi seperti daun daun yang dimakan oleh ulat. Peristiwa ini berlaku dihari kelahiran Rasulullah s.a.w dan Allah telah ceritakan kisah ini didalam surah Al Fill ayat 1 - 5

Untuk melihat gambar di dalam Kaabah sila klik disini

Tiada ulasan: