Ahad, April 22, 2018

SENTUH PEREMPUAN ... BATAL ATAU TIDAK WUDHUK ?


Isu batal air sembahyang bila menyentuh perempuan bukanlah satu isu yang baru dan ia sentiasa dibahaskan. Ulamak berselisih pendapat samada batal atau tidak.

Berdasarkan kepada ayat di bawah masing masing mengeluarkan hujjah masing masing

 : : Firman Allah 

وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا - المائدة: ٦

Maksudnya
dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air atau kamu  ***  perempuan sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk / mandi) maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih....
Surah al Maidah ayat 6

➯  PENDAPAT IMAM ABU HANIFA  

Imam Abu Hanifa menyatakan bahawa TIDAK BATAL wudhuk melainkan dengan bersetubuh.

Ini adalah kerana Kalimah لَامَسْتُمُ  dalam ayat di atas bermaksud bersetubuh.

➯ PENDAPAT IMAM SYAFIE  

Sebaliknya Imam Syafie berpendapat batal wudhuk jika menyentuh perempuan samada sengaja ataupun tidak sengaja.  Hujjah Imam Syafie adalah seperti dibawah ini

 Pertama

Ada riwayat lain yang membaca kalimah لَامَسْتُمُ  dengan bacaan  لَمَسْتُمُ   yang membawa maksud  menyentuh.

Kedua

Zina adalah satu perbuatan yang terkutuk dan dilarang.

 : : Firman Allah 

 وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
 الإسراء:  ٣٢

Maksudnya
Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan seburuk buruk jalan.
Surah al Isra´  ayat 22

Dalam ayat di atas Allah melarang kita menghampiri zina.

Maknanya sebelum berlakunya zina, Allah telah memagarnya dengan perkara perkara yang menyumbang kepada zina itu.

Dalam konteks ini, Imam Syafie telah memagarnya dengan sentuhan yang boleh membawa kepada sentuhan yang besar itu.

Imam Syafie telah menjadikan nas diatas sebagai hujjah BATAL WUDHUK jika menyentuh perempuan.

➯ PENDAPAT IMAM AHMAD  

Imam Ahmad berpendapat Batal wudhuk jika sentuhan itu menimbulkan syahwat.

Ini adalah berdasarkan kepada hadith Aisyah r.a. yang menceritakan bahawa diia terpegang kaki Rasulullah yang sedang solat.

Seandainya batal wudhuk sudah pastilah Nabi berhenti dari solatnya.

Hasil dari perbincangan du atas dapat disimpulkan bahawa....

  1. Tidak Batal wudhuk melainkan sentuhan itu diikuti dengan syahwat ataupun dengan bersetubuh.
  2. Pendapat Imam Syafie adalah sebagai langkah waspada sebelum berlakunya sentuhan yang besar itu.
  3. Jika kita kembali kepada dalil yang dibawa, maka tidak timbul isu untuk mengikut mana mana pendapat  Imam imam di atas.
  4. Dari perlakuan Aisyah menyentuh Rasulullah yang sedang solat menunjukkan tidak batal wudhuk jika si Isteri bersalaman atau memegang tangan suaminya.