Isnin, November 13, 2017

KAFARAH DALAM ISLAM


Kaffarah bermaksud penghapusan dosa bagi kesalahan tertentu.

Antara kesalahan kesalahan yang diwajibkan kaffarah ialah ....

 ZIHAR 
(menyamakan tubuh isteri dengan ibunya)

Kaffarahnya ..
  • Membebaskan hamba
⏰ Firman Allah

فَتَحْرِيرُ  رَقَبَةٍ مِّن قَبْلِ أَن يَتَمَاسَّا ﴿المجادلة: ٣

Maksudnya
Maka hendaklah (si suami ) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua bercampur.
Surah al Mujadalah ayat 3

Jika tidak mampu .....
  • berpuasa dua bulan berturut 
  • Memberi makan 60 orang miskin 
⏰Firman Allah

فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ مِن قَبْلِ أَن يَتَمَاسَّا فَمَن لَّمْ يَسْتَطِعْ فَإِطْعَامُ سِتِّينَ مِسْكِينًا ﴿المجادلة : ٤

Maksudnya
Barang siapa yang tidak dapat maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Dan jika tidak mampu juga maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin.
Surah Mujadalah ayat 4

Nota : ikut turutan

TIDAK SENGAJA MEMBUNUH ORANG ISLAM 
  • Bebaskan hamba dan bayar Diyah 
Jika tidak mampu
  • Puasa dua bulan berturut turut 
⏰Firman Allah

وَمَن قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَأً فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ وَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰ أَهْلِهِ إِلَّا أَن يَصَّدَّقُوا ﴿النساء: ٩٢

Maksudnya
Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja maka kaffarahnya dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar "diyah" ( denda ganti nyawa ) yang diserahkan kepada ahlinya kecuali jika mereka sedekah
Surah an Nisa' ayat 92

⏰ Firman Allah

فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ تَوْبَةً مِّنَ اللَّهِ ﴿النساء: ٩٢

Maksudnya
Sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebagai taubat dari Allah
Surah an Nisa' ayat 92

 LANGGAR SUMPAH 
  • Memberi makan 10 orang miskin atau
  • memberi mereka pakaian atau
  • bebaskan seorang hamba
⏰ Firman Allah

فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ﴿المائدة: ٨٩

Maksudnya
Maka kafarahnya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba.
Surah al Maidah ayat 89

Jika tidak mampu...
  • puasa tiga hari ( tidak disyaratkan berturut turut)
Firman Allah

فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ َ﴿المائدة: ٨٩

Maksudnya
Barang siapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah.
Surah al Maidah ayat 89

 JIMAK PADA SIANG HARI RAMADHAN 

Kaffarahnya sama seperti kaffarah Zihar
  • Bebaskan hamba ...
Jika tidak mampu ..
  • Puasa Dua bulan berturut turut 
  • Memberi makan 60 orang miskin 
 Nota : ikut turutan 

Ini adalah berdasarkan kepada Hadith riwayat Bukhari (1936) Dari Abu Hurairah ra.

"Ketika kami sedang duduk bersama Nabi saw tiba-tiba datang seorang lelaki seraya berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَلَكْتُ، قَالَ : مَا لَكَ ؟ قَالَ : وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي وَأَنَا صَائِمٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  هَلْ تَجِدُ رَقَبَةً تُعْتِقُهَا؟ قَالَ لا  قَالَ فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ؟ قَالَ لا فَقَالَ : فَهَلْ تَجِدُ إِطْعَامَ سِتِّينَ مِسْكِينًا؟ قَالَ لا

Maksudnya
Ya Rasulullah aku telah binasa, Rasulullah bertanya Apa yang terjadi denganmu? Lelaki itu menjawab: Aku telah menggauli isteriku padahal aku sedang berpuasa. Lalu Rasulullah saw bertanya kepadanya Apakah engkau memiliki seorang budak yang engkau boleh merdekakannya? Dia menjawab Tiada. Rasulullah bersabda: Apakah engkau mampu berpuasa dua bulan berturut-turut? Dia menjawab: Tidak. Rasulullah pun bertanya lagi: Apakah engkau mampu memberi makan enam puluh miskin? Jawabnya : Tidak maka Nabi ...... (hingga akhir Hadith)


Ahad, Ogos 20, 2017

HAJI IFRAD, HAJI TAMATTUK DAN HAJI QIRAN


Ibadah haji merupakan rukun Islam yang kelima. Hukum mengerjakannya adalah wajib bagi yang berkemampuan.

 :  :  Firman Allah  

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ ِ ﴿البقرة: ١٩٦

Maksudnya
Dan sempurnakanlah Haji dan Umrah kerana Allah
Surah Al Baqarah ayat 196

Haji terbahagi kepada tiga golongan iaitu
 1. Haji Ifrad     2. Haji Tamattu'      3. Haji Qiran  

Hadith daripada Aisyah RA

خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ عَامَ حَجَّةِ الْوَدَاعِ فَمِنَّا مَنْ أَهَلَّ بِعُمْرَةٍ وَمِنَّا مَنْ أَهَلَّ بِحَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ وَمِنَّا مَنْ أَهَلَّ بِالْحَجِّ وَأَهَلَّ رَسُولُ اللَّهِ بِالْحَجِّ فَأَمَّا مَنْ أَهَلَّ بِالْحَجِّ أَوْ جَمَعَ الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لَمْ يَحِلُّوا حَتَّى كَانَ يَوْمُ النَّحْرِ

'Aisyah RA berkata: "Kami berangkat bersama Nabi SAW pada tahun haji wada' (perpisahan). Diantara kami ada yang berihram untuk umrah, ada yang berihram untuk haji dan umrah dan ada pula yang berihram untuk haji. Sedangkan Rasulullah SAW berihram untuk haji. Adapun orang yang berihram untuk haji atau menggabungkan haji dan umrah maka mereka tidak bertahallul sampai hari nahar (tanggal 10 Dzul Hijjah) ".
HR. Bukhari

 1. Haji Ifrad - ( افراد )   

Melakukan Umrah selepas selesai mengerjakan  ibadah haji.

Haji Ifrad adalah untuk mereka yang berkelangan mengerjakan umrah selepas selesai mengerjakan rukun rukun haji.

Mereka tidak perlu terburu buru mengerjakan umrah dan tidak ada keperluan berbuat demikian.

  2. Haji Tamattu' - ( تمتع  )

Mengerjakan Umrah dalam bulan bulan haji sebelum hari wukuf di Arafah

Haji Tamattu' adalah untuk mereka  yang berkesempatan mengerjakan umrah sebelum hari wukuf  di Arafah dan tidak berpeluang mengerjakannya selepas selesai mengerjakan ibadah haji.

Dalam erti kata lain inilah satu satunya masa baginya mengerjakan ibadah umrah.

 3. Haji Qiran  - ( قران ) 

أَنْ يُحْرِمَ بِعُمْرَةٍ فِي أَشْهُرِ الْحَجِّ ثُمَّ يُدْخِل الْحَجَّ عَلَيْهَا قَبْل الطَّوَافِ

Seseorang berihram dengan umrah pada bulan-bulan haji, kemudian memasukkan haji ke dalamnya sebelum tawaf

Haji Qiran adalah untuk golongan yang  tidak berkesempatan langsung  mengerjakan Umrah samada sebelum ataupun sesudah mengerjakan ibadah haji.

Dalam erti kata lain, itulah hajinya dan itulah juga umrahnya. ( 2 dalam 1)

Disyariatkan kesemuanya ini adalah kerana Allah mengetahui hal keadaan hamba hambaNya. Bayangkan jika disyariatkan Haji Ifrad sahaja, maka bukankah ini akan menyulitkan mereka yang tidak berkesempatan mengerjakan umrah selepas haji.

 :  :  Firman Allah  

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ ُ﴿الحج: ٧٨

Maksudnya
Dan Ia tidak menjadikan atas kamu  pada agama itu sempit.
Surah Al Hajj ayat 78

Dam ( denda ) akan dikenakan atas
Untuk Haji Tamattu' dan Haji Qiran iaitu menyembelih seekor kambing.
Sila rujuk QS al Baqarah ayat 196

Disediakan oleh...
Haji Jim Nun al Urduni
Akademi AlQuran Annajah
Ampang,
Selangor.

BLOG:
www.annajahcemerlang.blogspot.com

Khamis, Ogos 17, 2017

PERBEZAAN ANTARA SUNAT AB'AD DAN SUNAT HAI'AT


Definasi

 :  :  Sunat Ab'ad  
Sunat Ab'ad ialah perkara - perkara sunat yang dilakukan semasa solat . Jika kita terlupa membaca atau melakukan salah satu dari perkara2 tersebut maka disunatkan melakukan sujud sahwi.

 :  :  Sunat Hai'at  
Sunat Haiah pula ialah perkara-perkara sunat semasa solat. Tidak perlu sujud Sahwi jika tertinggal  melakukannya.

Perkara perkara di dalam sunat Ab'ad ada  7 perkara iaitu :

  1. Membaca tasyahud awal  
  2. Duduk tasyahud awal  
  3. Membaca Qunut 
  4. Berdiri semasa berqunut 
  5. Selawat kepada Nabi pada tahiyat awal 
  6. Selawat ke atas keluarga Nabi pada tasyahud akhir 
  7. Selawat dalam doa Qunut 

Catatan

  • Tasyahud awal sama makna dengan tahiyat awal
  • Sujud Sahwi dilakukan sebelum memberi salam berdasarkan pada hadith dibawah 

Dari Abdullah bin Buhainah r.a bahawa pada suatu hari Nabi Muhammad s.a.w menjadi imam solat mereka lalu Baginda bangun sesudah rakaat kedua dan tidak duduk tahiyat awal. Orang ramai pun bangun bersama-samanya sehingga apabila Baginda selesai solat dan mereka menunggu salamnya, ia bertakbir lalu sujud dua kali ( sujud sahwi ) sebelum memberi salam, kemudian ia memberi salam ."


  • Andai terlupa juga sujud sahwi, maka tidak membatalkan solat. 


Perkara perkara dalam Sunat Hai'at ada 16 iaitu ...

  1. Mengangkat kedua belah tangan ketika hendak takbiratul ihram, ruku', bangkit dari ruku' dan bangkit dari tasyahud awal.
  2. Telapak tangan kanan berada di atas pergelangan tangan kiri 
  3. Membaca do'a iftitah
  4. Membaca ta'awudz dan Basmallah 
  5. Membaca surah Alquran
  6. Membaca amin 
  7. Menguatkan bacaan Fatihah dan surah pada rakaat pertama dan kedua solat Jumaat, maghrib, isya' dan subuh kecuali kalau dia menjadi ma'mum
  8. Membaca takbir Allahu Akbar 
  9. Membaca tasbih ruku' dan sujud 
  10. Membaca sami'allahu liman hamidah 
  11. Membaca do'a ketika i'tidal 
  12. Meletakan telapak tangan di atas paha ketika tasyahud awal dan akhir 
  13. Duduk iftisary dalam semua duduk solat
  14. Duduk "tawarah" atau bersimpuh pada duduk tasyahud akhir 
  15. Membaca salam yang kedua. 
  16. Memalingkan muka ke kanan dan ke kiri ketika salam pertama dan kedua.


 : : KESIMPULANNYA  

Sunat Ab'ad dan Sunat Hai'at adalah perkara-perkara sunat semasa solat.
Bezaya Sunat Ab'ad kena sujud Sahwi apabila kita meninggalkannya sedangkan Sunat Hai''at tidak perlu.

Disediakan oleh...
Haji Jim Nun al Urduni
Akademi AlQuran Annajah
Ampang,
Selangor.

BLOG:
www.annajahcemerlang.blogspot.com 

Isnin, Julai 31, 2017

TAYAMMUM


Tayammum ialah bersuci dengan menggunakan debu tanah yang bersih sebagai pengganti kepada wudhu` ataupun mandi hadas.

 : : Firman Allah 

وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا  ﴿النساء: ٤٣

Maksudnya
Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air atau kamu bersentuh dengan perempuan lalu kamu tidak mendapat air maka hendaklah kamu bertayamum dengan debu tanah yang suci.
Surah An Nisa' ayat 43

 : : Sabda Rasulullah s.a.w.  

« وَجُعِلَتْ تُرْبَتُهَا لَنَا طَهُورًا إِذَا لَمْ نَجِدِ الْمَاءَ »

Maksudnya
Dijadikan bagi kami tanahnya sebagai sesuatu yang mensucikan  jika kami tidak menjumpai air”.
( HR Muslim dari Hudzaifah bin Yaman r.a.)

 : : Sabda Rasulullah s.a.w.  

"Dijadikan bumi itu seluruhnya untukku dan umatku sebagai tempat bersujud dan alat untuk bersuci".
(HR Ahmad dari Abi Umamah).


KEADAAN YANG MEMBOLEHKAN TAYAMUM
  1. Tidak ada air 
  2.  Air cukup untuk makan dan minum sahaja.
  3. Luka yang tak boleh kena air.
  4. Ketidakmapuan menggunakan air
  5. Air yang terlalu sejuk.

 : : Soalan   

Kaki saya luka dan tak boleh kena air.. Bolehkah saya berwudhu' dan untuk kaki yang luka itu saya tayammumkan sahaja.

Jawapanya  : TIDAK BOLEH
kerana kaki tidak termasuk dalam anggota tayammum.

Anggota untuk Tayammum ada dua iaitu
  • Muka
  • Kedua dua belah Tangan

 : : Firman Allah 

فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ ﴿المائدة: ٦﴾

Maksudnya
maka hendaklah kamu bertayamum dengan debu tanah yang bersih maka sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu daripadanya.
Surah al Maidah ayat 6

Kenapa kita mesti campur adukkan antara wudhu' dengan tayammum?

Bukankah tayammum itu sudah cukup menggantikan wudhu'.

Namun begitu perlu diingat bahawa tayammum ini sah untuk satu waktu solat sahaja. Untuk waktu yang kedua kena ambil tayammum yang lain pula.

Sehubungan dengan ini, tayammum tidak boleh diambil siap siap sebelum masuknya waktu solat.

Selain daripada itu tayammum akan terbatal bila....
  • adanya air 
  • Melakukan perkara yang menbatalkan wudhu'
  • Luputnya halangan menggunakan air.

www.annajahcemerlang.blogspot.com

Isnin, Julai 03, 2017

ADDEEN ( AGAMA ) DISISI ALLAH HANYALAH ISLAM


 : :  Firman Allah   

وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّـهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿البقرة: ١٣٢

Maksudnya
Dan Nabi Ibrahim telah berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya dan Nabi Yaakub:  "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih untuk kamu agama maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam".
Surah alBaqarah ayat 132

Apakah yang dimaksudkan dengan kalimah Addeen itu ?

Dalam AlQuran Addeen membawa tiga maksud
1. Agama       ( Surah al Baqarah : 132 )
2. Undang undang    ( Surah Yusuf : 76  )
3. Hari Pembalasan ( Surah al Fatihah : 4 )

Kalimah Addeen dalam konteks ayat di atas adalah bermaksud agama dan agama disisi Allah hanyalah Islam.

 : :  Firman Allah   

 إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّـهِ الْإِسْلَامُ ﴿آل عمران: ١٩

Maksudnya
Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. 
Surah Ali Imran ayat 19

Islam juga agama yang Allah pilih dan Allah redhai

 : :  Firman Allah   

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Maksudnya
Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redha Islam itu sebagai agama untuk kamu.
Surah alMaidah ayat 3

Ini bermakna Allah akan menolak mana mana agama selain daripada Islam


 : :  Firman Allah   

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ ﴿آل عمران: ٨٥

Maksudnya
Dan barang siapa yang mencari agama lain selain Islam maka sekali kali tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak dari orang - orang yang rugi.
Surah Ali Imran ayat 85

Bayangkan betapa ruginya kita seandainya amalan yang kita lakukan ini tidak diterima oleh Allah di akhirat .

  : : Justeru itu,   

Allah berpesan kepada Orang orang Beriman

  : :  Firman Allah   

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْم كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ  إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ﴿البقرة: ٢٠٨

Maksudnya
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam itu keseluruhannya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
Surah alBaqarah ayat 208

Mengambil Islam sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain adalah termasuk mengikut jejak langkah Syaitan.  نعوذ بالله من ذلک

Disediakan oleh...
Haji Jim Nun al Urduni
Akademi AlQuran Annajah
Ampang,
Selangor.

Sila layari juga...
www.annajahcemerlang.blogspot.com

🍏🍎🌻🍇🍑🍊

Sabtu, Julai 01, 2017

PEREMPUAN PEREMPUAN YANG DIHARAMKAN BERKAHWIN


Wanita wanita yang diharamkan berkahwin terbahagi kepada dua katogeri iaitu..

KATOGERI PERTAMA

HARAM BERKAHWIN BUAT SELAMA LAMANYA

 Disebabkan hubungan nasab 

  1. Ibu 
  2. Anak 
  3. Saudara-saudara perempuan  
  4. Emak saudara sebelah bapa  
  5. Emak saudara sebelah ibu  
  6. Anak abang  
  7. Anak kakak @ anak adik perempuan 

  Firman Allah 

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ  وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ   

Maksudnya
Diharamkan atas kamu berkahwin dengan ibu-ibu kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, saudara-saudara bapa kamu, saudara-saudara ibu kamu, anak-anak saudara kamu yang lelaki, anak-anak saudara kamu yang perempuan.
Surah an Nisa` ayat 23

 Disebabkan hubungan susuan.

  1. Ibu susuan 
  2. Saudara susuan

 Firman Allah 


وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya
Diharamkan atas kamu berkahwin dengan ibu-ibu yang menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu
Surah an Nisa` ayat 23

Disebabkan hubungan perkahwinan.

  1. Ibu mertua ( ibu isteri )
  2. Anak tiri yang dalam jagaan dari isteri yang telah dicampuri ( disetubuhi ) *
  3. Menantu.

 Firman Allah 

وَأُمَّهَات نِسَائِكُم وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاح عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُم
  
Maksudnya
Diharamkan atas kamu berkahwin dengan ibu-ibu isteri kamu, anak-anak tiri yang dalam jagaan kamu dari isteri-isteri yang telah kamu campuri  tetapi Jika kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiada salah pada kamu berkahwin dengannya ( anak tiring kamu). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu yang berasal dari benih kamu..
Surah an Nisa` ayat 23

Catatan *
Seandainya ibu kepada anak tiri itu belum disetubuhi maka dihalalkan berkahwin dengan anak tiri itu.


KATOGERI KEDUA

HARAM BERKAHWIN BUAT SEMENTARA WAKTU  

Mengahwini dua beradik dalam satu masa.

 Firman Allah 

وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ  l كَانَ l  - النساء: ٢٣

Maksudnya
Dan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu.
Surah an Nisa` ayat 23

Mengahwini perempuan yang masih menjadi isteri orang

 Firman Allah 

وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ النِّسَاءِ - النساء: ٢٤

Maksudnya
Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang
Surah an Nisa` ayat 24