Sabtu, Oktober 25, 2014

PUASA SUNAT 9 & 10 MUHARAM



10 Muharam atau dikenali sebagai Hari Asyura merupakan satu-satunya hari yang teristimewa dan penting di dalam islam Banyak peristiwa yang bersejarah telah berlaku pada hari tersebut.
 antaranya
• Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
• Nabi Idris diangkat Allah ke langit. 

• Nabi Nuh diselamatkan daripada banjir besar yang menenggelamkan  bumi selama enam bulan.
• Nabi Ibrahim diselamatkan Allah daripada dibakar Raja Namrud.
• Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
• Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara
• Allah memulihkan penglihatan Nabi Yaakob.
• Nabi Isa diangkat ke langit.
• Nabi Ayub dipulihkan daripada penyakit kulitnya
• Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan nun, selepas berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
• Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya daripada tentera Firaun.
• Allah mengampunkan kesalahan Nabi Daud.
• Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
• Hari pertama Allah mencipta alam.
• Hari pertama Allah menurunkan rahmat.
• Hari pertama Allah menurunkan hujan.
• Allah menjadikan Arasy.
• Allah menjadikan Luh Mahfuz.
• Allah menjadikan Malaikat Jibril.

Oleh yang demikian, kita disunatkan berpuasa pada hari tersebut
Hadis-hadis mengenai puasa sunat 10 Muharam adalah seperti berikut:




Ketika Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam datang ke Madinah, maka baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa di hari Asyura, lalu baginda bertanya: hari apakah ini? Mereka menjawab: Ini adalah hari yang baik, hari dimana Allah menyelamatkan Bani Israil dari musuh mereka, lalu Musa berpuasa pada hari itu. Baginda bersabda: Aku lebih berhak terhadap puasa Musa dari kamu sekalian. Maka baginda berpuasa dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa
”. (Hadis Riwayat Bukhari (2004) dan Muslim (1130)) 

Said bin Jubair dari Ibnu Abbas r.a berkata:  " Ketika Nabi saw baru berhijrah ke Madinah, maka mereka dapati kaum Yahudi berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam). Maka mereka pun bertanya kepada kaum Yahudi tentang puasa mereka itu. Mereka ( orang Yahudi ) menjawab, " Hari ini Allah memenangkan Musa dan Bani Israel terhadap Firaun dan kaumnya, maka kami berpuasa sebagai mengagungkan hari ini ". Maka sabda Nabi saw: " Kami lebih layak mengikuti jejak langkah Musa dari kamu."  Maka Nabi saw pun menyuruh para sahabat agar berpuasa ".
 

Pada mulanya puasa Asyura adalah termasuk puasa wajib, namun setelah difardhukan puasa Ramadan pada tahun ke 2 Hijrah, maka puasa Asyura menjadi sunat sebagaimana penjelasan dari hadis berikut:



Orang-orang Quraisy zaman Jahiliyah berpuasa pada hari Asyura dan Rasulullah juga berpuasa pada hari Asyura di zaman Jahiliyah. Setelah baginda sampai ke Madinah, maka baginda berpuasa pada hari tersebut dan menyuruh orang ramai berpuasa. Maka setelah puasa bulan Ramadan diwajibkan baginda meninggalkan puasa Asyura, baginda bersabda: Barangsiapa yang mahu, berpuasalah dan barangsiapa yang mahu berbuka tinggalkan puasa”. (Muttafaq ‘alaihi. Bukhari (2002) Muslim (1125))


PUASA TASU'A  
 PUASA SUNAT  9 MUHARAM)  

Adapun disunatkan berpuasa 9 Muharam adalah berdasarkan kepada beberapa hadis sohih, antaranya;

Daripada Ibnu Abbas berkata "ketika Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai berpuasa lalu mereka berkata : Wahai Raslullah , Bukankah hari ini hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani lalu Rasulullah s.a.w bersabda lagi " sekiranya tahun hadapan jika diizinkan Allah kita akan berpuasa pada hari ke 9. Ibnu Abbas berkata " tidak sempat munculnya tahun hadapan Rasulullah s.a.w wafat terlebih dahulu" Hadis riwayat Imam Muslim.

Daripada Ibnu Abbas berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda ( maksudnya ) " Sekiranya aku masih hidup hingga tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari ke 9". Hadis riwayat Muslim.

KESIMPULAN

1.  Imam Syafie, Imam Ahmad,,  Imam Ishaq dan kebanyakan ulamak dari mazhab Hanbali dan Syafie sepakat menyatakan bahawa puasa 9 dan 10 Muharam adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat sangat dituntut. Sebaliknya  Imam Abu Hanifah  menyatakan ianya adalah wajib.

2.   Imam Abu Hanifah juga menyatakan bahawa Makruh berpuasa satu hari pada 10 Muharam sahaja ( tanpa puasa 9 Muharam ) kerana ianya menyamai puasa orang Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharam sahaja. 

3.   Pendapat yang menyatakan sunat berpuasa pada 9, 10 dan 11 Muharam ( tambah satu hari pada 11 Muharam ) adalah tidak kuat. Ini adalah kerana  hadis yang dipegang oleh pendapat ini terdapat perawi yang bernama
1.  Ibnu Abi Laila  - buruk hafalan
2.  Daud  bin Ali   - idah tsiqoh atau  tidak boleh dipercayai

Oleh yang demikian menurut Adz Zahabiy, " Hadis Sunat berpuasa pada 9, 10 dan 11 Muharam  tidak boleh dijadikan hujjah. 

10 MUHARAM PADA PANDANGAN SYIAH

Bagi masyarakat Syiah khususnya di ibu kota Teheran, Iran; Karbala di Iraq; Lucknow, India dan Nabatiye, selatan Lebanon, Hari Asyura adalah hari mereka berdukacita.

Setiap tahun bermula dari 1 Muharam sampailah kepada 10 Muharam dan berlanjutan selama 40 hari (Arbaen),penganut-penganut Syi'ah akan mengadakan upacara pengkabungan kononnya sebagai tanda memperingati kematian Imam Husain bin Ali yang terbunuh di Karbala  pada tanggal 10 Muharram tahun 61 Hijrah.

Mereka akan mengadakan pelbagai upacara yang mencederakan diri sendiri seperti menampar-nampar muka dan dada,  melukakan tubuh serta kepala dengan pisau-pisau kecil bahkan ada yang menggunakan pedang sehingga tubuh dibasahi darah.

Di samping itu seorang dari kalangan mereka yang digelar dengan nama "Zakir Husain" akan mengumandangkan syair-syair ratapan menceritakan penderitaan Ahlul Bait Rasulullah s.a.w. dan kezaliman yang dilakukan terhadap mereka diselangi dengan caci maki terhadap Bani Umayyah dan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. yang dianggap mereka sebagai perampas hak Ahlul Bait.

Bagi Ahlus Sunnah sepakat mengatakan bahawa amalan tersebut merupakan amalan jahiliyyah dan diharamkan berdasarkan kepada hadis daripada Rasulullah s.a.w. daripada Ibnu Mas'ud r.a. bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda, "Bukan dari kalangan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-ngoyak kolar baju dan menyeru dengan seruan jahiliyyah."(Sahih Bukhari Kitabul Janaaiz dan Muslim Kitabul Iman).

Ahad, Ogos 31, 2014

ADAB BERGURAU

                                  


--> 
Bergurau memang seronok. Kadang-kadang, bergurau boleh membuatkan suasana kelas yang muram menjadi ceria. Yang sepi bertukar gamat terutamanya waktu nak dekat 'exam'. Gurau senda jugalah yang menjadi penambah perisa dalam tautan ukhwah.

Adapun, setiap perkara tentulah ada batasnya. Tidak kiralah kegembiraan, kesedihan, lawak jenaka, gurau senda atau apa sahaja. Jikalau berlebihan tanpa batas, hidup boleh jadi huru-hara!

Namun, Islam itu cukup cantik. Allah S.W.T. tidak pernah membiarkan umatNya terbiar tanpa panduan. Al-Quran dan As-sunnah itu sentiasa ada untuk menjadi rujukan kita. Dalam hal ini, Dr. Yusuf Qardawi ada meletakkan 5 syarat untuk bergurau senda.



1. PERKARA YANG HENDAK DICAKAPKAN ITU BUKANLAH SESUATU YANG BOHONG.

Nabi SAW bersabda:
"Celaka orang yang bercakap kemudian berbohong supaya manusia ketawa. Celakalah dia dan celakalah dia." 
HR Ahmad dan ad-Darimi

Dalam berbicara, kita dilarang sama sekali menokok nambah dan berkata perkara-perkara yang tidak benar.


2. TIDAK MENGHINA SESEORANG.

Firman Allah ( Maksudnya )

"Hai orang-orang yang beriman. Janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain. Boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) setelah beriman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Al-Hujurat: 11)

Nabi SAW bersabda:
 
 "Cukuplah seorang itu melakukan kejahatan apabila dia menghina saudaranya semuslim." (HR Muslim - sahih)

Ada masanya kita tak sedar perkara yang kita sangka hanya satu gurauan terhadap sahabat kita, sebenarnya telah mengecilkan hatinya. Jangan sesekali menganggap semua insan adalah seperti kita; tidak merasa apa-apa bila diejek. Masing-masing punya perasaan tersendiri.

Jika ada kekurangan pada diri sahabat, tegurlah dengan cara yang baik. Gurauan yang melampau boleh menjadi asbab kepada putusnya sillaturrahim. Maka, berhati-hatilah.





3. MELAWAK YANG TIDAK MENAKUTKAN ORANG LAIN.

Nu’man bin Basyir r.a. berkata: Sesungguhnya kami bersama Rasululah SAW di dalam satu perjalanan. Seorang lelaki mengantuk di atas tunggangannya. Seorang lelaki lain mengambil anak panah dari busurnya dan mengejutkan lelaki yang mengantuk yang menyebabkan dia terperanjat.

Rasulullah SAW bersabda:
"Haram bagi seorang lelaki menakutkan orang Islam." (HR Thabrani - sahih)

Nabi SAW bersabda:
"Janganlah kamu mengambil barang kepunyaan saudara seIslamnya dengan niat melawak ataupun betul-betul." (HR Ahmad - sahih)

Gurauan yang tidak kena pada tempatnya juga adalah sangat ditegah. Malah nabi sendiri mengharamkan kita untuk menakut-nakutkan saudara seIslam kita. Berpada-pada lah dalam bergurau. Setiap benda ada hadnya kerana jika tidak memikirkan kesan gurauan yang sepatutnya, hiburan boleh menjadi bala. Maka, berhati-hatilah.

4. JANGAN BERGURAU PADA PERKARA YANG PERLU SERIUS.

Dalam Islam ada 3 perkara yang dianggap diambil hukumnya walaupun dalam keadaan melawak.

Nabi SAW bersabda:
"Tiga perkara yang mana diambil hukumnya samada dalam keadaan melawak ataupun serius: nikah, cerai, membebaskan hamba." 

HR Abu Daud, at-Tarmizi dan Ibnu Majah - sanadnyaHasan

Sesungguhnya Allah telah mencela orang2 musyrikin yang ketawa ketika mendengar al-Quran. 

Firman Allah S.W.T.:
Adakah kamu hai musyrikin rasa hairan dengan ayat2 suci al-Quran? Kamu ketawa ketika mendengarnya, tidak menangis ketika mendengarnya dan kamu dengar dalam keadaan lalai.
Surh an Najm ayat 59 – 61


5. HENDAKLAH MELAWAK SEKADAR PERLU DAN TIDAK BERLEBIHAN.

Nabi SAW bersabda:
"Janganlah kamu banyak ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa boleh mematikan hati."

Hr Ahmad dan Ibnu Majah – sanad hasan




    IKTIBAR KISAH RASULULLAH S.A.W.     

Islam tidak melarang untuk kita berseronok dengan melawak dan bergelak ketawa. Lihatlah bagaimana kisah Rasulullah bergurau dengan seorang wanita tua.

Wanita itu berkata baginda "Doalah kepada Allah supaya Dia memasukkan aku ke dalam syurga." Baginda menjawab "Wahai ibu, sesungguhnya orang tua tidak masuk ke dalam syurga." Perempuan itu balik dan menangis.

Baginda saw bersabda:
أMaksudnya:
"Beritahulah kepadanya bahawa dia tidak masuk ke dalam syurga dalam keadaan masih tua. Sesungguhnya Allah berfirman " Sesungguhnya kami mencipta wanita-wanita syurga dengan penciptaan yang baru. Kami jadikan mereka dalam keadaan dara, yang amat mengasihi suaminya dan yang sebaya dengannya." 
Hr Tirmizi dan al-Baihaqi dgn sanad yg hasan

Abu Hurairah telah meriwayatkan: Para sahabat berkata "Wahai Rasulullah sesungguhnya kamu bergurau senda dgn kami." Baginda menjawab:Maksudnya: Ya aku bergurau tetapi aku tidak berkata melainkan perkara yang benar. 
Hr Tirmizi dan Ahmad – sanadnya hasan)


HADITH SOHIH


Al-Qur'an dan al-Hadith merupakan dua sumber ilmu yang terdapat di dalam Islam.Segala ilmu yang bersumberkan nas-nas al-Qur'an dan al-Hadith dikenali sebagai ilmu naqli. Kebenaran yang terkandung di dalamnya merupakan kebenaran yang bersifat mutlak dan di luar jangkaan pengetahuan manusia.

Pengumpulan hadith-hadith Nabi S.A.W sebagai sumber rujukan Islam dimulai
oleh Ali bin al-Mawafi ( 234 H ) iaitu guru kepada Imam al-Bukhari. Bermula daripada situlah lahirnya usaha-usaha untuk memisahkan hadith-hadith yang benar dan palsu yang terdapat dalam masyarakat.

Ekoran itu maka lahirlah beberapa kitab Hadith yang masyhur seperti al jami’ as Sahih susunan Imam al-Bukhari ( 256 H ) dan al Jami’ as-Sahih susunan Imam Muslim ( 261 H ) . Kedua-dua kitab tersebut dikenali dengan nama as-Sahahain الصحيحين) ).

Selepas kitab ini maka lahirlah pula empat buah kitab yang di namakan As-Sunnan al-Arba’ah ( السنن الإربعة ) iaitu Sunan Abi Daud ( 275 H ), Sunan Al Tirmizi ( 271H ), Sunan An-Nasa’i ( 303 H ) dan Sunan Ibnu Majah ( 277 H ). Kitab-kitab as-Sahahain dan Sunan al-Arba’ah ini juga dinamakan oleh ulamak sebagai al-Kutub as-Sittah

Ternyata dalam perkembangan ilmu hadith Imam al-Bukhari dan Imam Muslim
telah mendokong pengumpulan hadith-hadith sahih yang datang daripada Nabi Muhammad S.A.W.

Kitab-kitab sahih al-Bukhari dan Muslim telah memuatkan beratus-ratus kategori
dari berbagai-bagai bab yang menyentuh persoalan iman hinggalah kepada akhlak.
Penggumpulan kepelbagaian hadith-hadith ini telah banyak membantu umat Islam
membuat rujukan dalam bidang-bidang yang berkenaan.

PEMBAHAGIAN HADITH KEPADA SAHIH, HASAN, DHAIF

HADITH SAHIH

Hadith yang mempunyai sanad  yang berhubung daripada seorang perawi kepada perawi yang lain sehingga ke akhir sanad  melalui perawi-perawi yang adil dan dhabit. Hadith itu pula tidak syaz dan ‘illah (tidak cacat).

Hadith sahih adalah termasuk di dalam senarai hadith yang diterima ( Hadith Maqbul )

HADITH HASAN

Menurut  al-Hafiz Ibn Hajar   al-asqalani hadith hasan ialah hadith yang mempunyai sanad yang berhubung daripada seorang perawi kepada perawi yang lain sehingga akhir sanad, melalui perawi-perawi yang adil  tetapi tidak dhabit iaitu mempunyai ingatan yang kurang sempurna, tidak syaz dan tidak mempunyai ‘illah.

Hadith Hasan juga termasuk di dalam senarai hadith yang diterima ( Hadith Maqbul )

CIRI – CIRI  HADITH-HADITH HASAN

Hadith hasan memerlukan lima perkara yang berikut:
1. Perawi setiap hadith itu mestilah berhubung diantara satu dengan yang lain.
2. Perawi itu mestilah adil.
3. Perawi itu tidak mempunyai kekuatan ingatan yang sempurna.
4. Terhindar daripada syaz.
5. Tidak mempunyai ‘illah.

HADITH DHAIF

Hadith dhaif ialah hadith yang tidak mempunyai ciri-ciri hadith sahih dan hasan.
Kedhaifan sesuatu hadith sama ada disebabkan sanadnya tidak berhubung atau kerana sebab yang lain.

Hadith Dhoif merupakan hadith yang tidak diterina ( Hadith Mardud ) lantaran kerana ianya tidak memenuhi syarat – syarat Hadith Maqbul.

SYARAT-SYARAT PENERIMAAN HADITH-HADITH SAHIH



1. Perawinya Bersifat Adil
2. Perawinya Mempunyai Ingatan Yang Sempurna
3. Sanad Hadith Bersambung Dan Sentiasa Berturutan
4. Terhindar Daripada Syaz (Tidak Janggal)
5. Tidak Ber'illah ( Cacat )

TARAF HADITH SAHIH
Imam al-Nawawi membahagikan hadith-hadith sahih itu kepada 7
bahagian, mengikut turutan antaranya:

i. Hadith-hadith yang diriwayatkan yang disepakati antara al-Bukhari dan Muslim.
Ii Hadith yang hanya diriwayatkan oleh al-Bukhari sahaja..
iii. Hadith yang diriwayatkan oleh Muslim sahaja.
iv. Hadith yang memenuhi syarat yang dikenakan oleh al-Bukhari dan Muslim  walaupun hadith berkenaan tidak diriwayatkan oleh mereka

v. Hadith-hadith yang memenuhi syarat yang dikenakan oleh al-Bukhari sahaja.
vi. Hadith yang memenuhi syarat yang dikenakan oleh Muslim sahaja.
vii. Hadith yang dihukum sahih oleh imam lain (ulama).
  
KITAB-KITAB HADITH SAHIH
Antara kitab-kitab yang dikumpulkan untuk hadith sahih ialah:
i. Sahih al-Bukhari
ii. Sahih Muslim
iii. Sahih Ibn Huzaimah
iv. Sahih ibn Hibban
v. Al-sunan as- Sahahu li Sa’di Ibn as- Sukan

PEMBAHAGIAN HADITH SAHIH
Hadith sahih terbahagi kepada dua iaitu sahih li zatih dan sahih li ghairih.

SAHIH LI ZATIHI

Sahih li zatih ialah hadith yang asalnya sahih dan kesahihannya itu sesuatu yang asal bukan disebabkan oleh sebab faktor yang lain. Keseluruhan perawi-perawinya
adalah thiqah (adil dan dhabit) dan yang thabit pula pengambilan hadith daripada seorang perawi kepada gurunya iaitu bersambung antara setiap perawi. Ianya  tidak mempunyai sebarang kecacatan yang boleh menjejaskan kesahihannya. Dengan kata lainnya, hadith ini mencukupi syarat bagi hadith sahih.

Hadith sahih li zatih (sahih dengan sendirinya) juga hadith yang memiliki sifat-sifat qabul yang paling tinggi. Secara jelasnya hadith ini mempunyai kesinambungan pada sanadnya, pemindahan hadith tersebut dilakukan oleh seorang perawi yang adil, sabar dan sempurna dari awal hingga akhir, setiap daripada gurunya dan hadith ini juga diakui kesahihannya oleh imam yang mentashihkan hadith.

SAHIH LI GHAIRIHI

Sahih li ghairihi asalnya daripada hadith hasan, tetapi disebabkan terdapat tariq lain yang yang meriwayatkan hadith ini, maka martabat hadith meningkat menjadi sahih. Oleh itu ia dinamakan hadith sahih li ghairih.

Hadith sahih li ghairih ( sahih kerana yang lain ) juga dikira sebagai hadith yang sahih berdasarkan kepada perkara luar dan hadith berkenaan tidak mempunyai sifat-sifat qabul yang paling tinggi




  

Sabtu, Ogos 30, 2014

Hikmah sujud

 - Sujud lega sistem pernafasan



Mungkin ramai di kalangan umat Islam tidak sedar mengenai pelbagai hikmah yang tersembunyi ketika sujud. Pada hal, kita perlu sedar bahawa tiada suatu pun ciptaan dan suruhan Allah s.w.t. yang sia-sia, malahan setiap ciptaan itu mempunyai kelebihan yang selalunya tidak terjangkau akal manusia.

Manusia melakukan sujud dalam dua bentuk, iaitu sujud fizikal seperti ketika bersolat dan sujud spiritual berbentuk ketaatan kepada perintah Allah s.w.t. dan menjauhi larangannya.
Ulama mengatakan sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir dengan Allah s.w.t. dan mereka menggalakkan kita bersujud lebih lama.

Antara hikmah lain sujud adalah melegakan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya.

Bernafas ketika sujud pula boleh:
- membetulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.
- membetulkan pundi peranakan yang jatuh.
- melegakan sakit hernia. (burut)
- mengurangkan sakit senggugut ketika haid.
- melegakan paru-paru daripada ketegangan.
- mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa.
- kedudukan sujud adalah paling baik untuk berehat dan mengimbangkan lingkungan bahagian belakang tubuh.
- meringankan bahagian pelvis.
- memberi dorongan supaya mudah tidur.
- menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung ketika akan sujud dan bangun daripada sujud.
- pergerakan otot itu menjadikan ototnya lebih kuat dan elastik,secara automatik memastikan kelicinan perjalanan darah yang baik.
- bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik,mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada.
- mengurangkan kegemukan.
- pergerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut (convulsions) .
- organ terpenting iaitu otak manusia menerima banyak bekalan darah dan oksigen.
- mengelakkan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepaman darah ke otak secara kuat dan mengejut serta terhindar penyakit salur darah dan sebagainya.

Dari segi psikologi pula, sujud membuatkan kita merasa rendah diri di hadapan Yang Maha Pencipta sekaligus mengikis sifat sombong, riak, takbur dan sebagainya.

Dari segi perubatan, kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan mentality seseorang.

Menurut kajian, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki darah sedangkan setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal dan sempurna.


TIDUR NENGIKUT SUNNAH



Dari Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Aisyah bahawa Nabi telah bersabda:
"Jika salah seorang di antara kamu berasa mengantuk, hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuknya. Jika seseorang bersembahyang ketika mengantuk berkemungkinan dia membaca istighfar sedangkan sebenarnya dia sedang mencaci dirinya sendiri." Hadis ini menampakkan tentang kaitan di antara mengantuk dan penurunan kualiti amal serta produktiviti seseorang.


(Dr. Stanley Coren; Ibid) Saintis-saintis dari Universiti Chicago telah mendapati bahawa kekurangan tidur akan menyebabkan gangguan kepada proses pengeluaran hormon, melemahkan kemampuan badan untuk memanfaatkan kabohidrat di dalam badan, dan mengujudkan keadaan yang seakan penyakit kencing manis. (Rujukan: Tinker Ready (2000); 'Naps: The Art of Snoozing')

Seseorang yang tidur 3-4 jam kurang daripada kadar tidurnya yang biasa, akan mudah mengalami tekanan perasaan (stress) dan akan mudah dijangkiti kuman, disebabkan oleh sistem pertahanannya yang menjadi lemah. Penemuan ini telah dilapurkan di dalam majalah perubatan 'Lancet' pada pada bulan Oktober, 1999. (Rujukan: Lancet: 'Impact of Sleep on Metabolic & Endocrine Function)

Tidur Dan Kerihatan Yang Berpatutan Adalah Ibadah. Islam adalah satu agama yang seimbang. Ia mementingkan tidur dan kerihatan agar ibadah dan aktiviti akan dapat dilakukan dengan baik. Dalam sebuah hadis disebutkan tentang kisah Abu Darda' yang, di antaranya, tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah. Salman, sahabatnya, telah menegurnya dengan berkata: "Tuhanmu ada hak ke atasmu, badanmu ada hak ke atasmu dan isterimu ada hak ke atasmu. Berikan kepada semua ini haknya." Ketika Nabi mendengar perkataan Salman, Baginda berkata: "Benarlah Salman." (Bukhari)

Islam tidak hanya menyuruh seseorang itu tidur, malah menekankan bahawa ia adalah hak badan yang perlu ditunaikan. Dalam hadis yang lain diceritakan bahawa Baginda Nabi telah memasuki Masjid dan ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang. Selepas bertanya, Baginda diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab agar dia dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan sembahyang.

Nabipun terus mengeluarkan arahan: "Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersembahyang ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk hendaklah tidur." (Bukhari-Muslim) Semua ini menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan produktiviti yang berkualiti dalam setiap amalan. Ia juga menampakkan tentang perkaitan di antara produktiviti dan kualiti dengan tahap kecergasan diri seseorang.

Tidur secara yang mansabah adalah merupakan salah satu cara untuk mengembalikan kecergasan diri. Sunnah Tidur Tengahari Dan Penemuan Semasa. Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya.

Di dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi: "Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah ada melakukannya." Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata: "Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum gelincir matahari untuk solat zohor."


Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji. Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti.

cara Tidur Nabi Dan Kajian Semasa.

Beberapa hadis Nabi telah meriwayatkan tentang cara tidur yang baik dan keji yang perlu diambilkira oleh seseorang: "Nabi telah melihat seorang lelaki tidur sambil meniarap, lantas Bagindapun bersabda: Inilah cara berbaring yang dibenci Allah." (Tarmuzi) "Apabila kamu mendatangi tempat tidurmu hendaklah kamu mengambil wuduk seperti wuduk untuk bersembahyang. Kemudian baringlah di sebelah kanan." (Bukhari-Muslim) Berkata 'Abbad ibn Tamim: "Aku melihat Rasulullah di dalam masjid tidur menelentang sambil menyilangkan kaki Baginda." (Bukhari-Muslim)

Ibn Qaiyim telah merumuskan bahawa Nabi tidak tidur dalam kekenyangan. Baginda berbaring berlapikkan bantal, mengiring ke sebelah kanan dalam keadaan berzikir kepada Allah, sehingga tidur.(At-Thib An-Nabawi oleh Ibn Qaiyim hal. 297)

Dapat disimpulkan bahawa Nabi suka tidur mengiring ke sebelah kanan dan kadangkala secara menelentang. Baginda tidur berlapikkan bantal yang sesuai dan membenci tidur secara meniarap. Dalam semua keadaan, zikir tidak pernah Baginda lupakan. Sekali lagi sains terpaksa akur tentang kebaikan cara tidur yang diamalkan Nabi ini. Saintis-saintis telah mendapati bahawa cara berbaring ketika tidur (sleeping postures) boleh memberi kesan kepada kesihatan. Untuk merihatkan badan di samping menjaga kesihatan tulang leher (cervical spine),

Wallahualam

RAMADHAN BULAN KEJAYAAN

Bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang penuh keberkatan. Sepanjang bulan ini umat islam diwajibkan berpuasa sebagaimana ianya pernah diwajibkan ke atas umat-umat terdahulu. MaksudFirman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 183  "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, "
Ibadah Puasa merupakan rukun islan yang ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan solat lima waktu. Seperti solat dan ibadah- ibadah yang lain. 
Imam Syafie dan Imam Abu Hanifah ( mazhab Hanafi ) telah mensyaratkan niat sebagai syarat sah berpuasa. Berpuasa tanpa niat akan menjadikan puasa kita itu tidak dikira dan sia-sia sahaja malah pada hari itu kita diwajibkan imsak iaitu  menahan daripada makan dan minum.

Namun begitu Imam Abu Hanifah berselisih pendapat dengan Imam Syafie dalam menentukan adakah niat itu perlu dilafazkan ataupun tidak.
Bagi Imam Abu Hanifah, niat itu tidak perlu dilafazkan . Memadai dengan gerakan atau lintasan hati untuk melakukan sesuatu perkara sudah dikira sebagai niat. Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa seseorang itu dikira membunuh seandainya tergerak dalam hatinya untuk membunuh meskipun tiada lafaz membunuh diucapkan ketika berlakunya kejadian itu.

Berbeza dengan Imam Syafie yang mensyaratkan supaya niat itu mesti dilafazkan dan tidak cukup hanya dengan lintasan hati sahaja. Contoh yang diberi oleh Imam Syafie cukup mudah iaitu sesuatu perkahwinan tidak akan berlaku melainkan dengan lafaz ijab dan kabul. Tergerak dalam hati ingin menjadikan seseorang wanita itu sebagai isteri belum memadai lagi. Oleh itu niat seseorang perlu dijelmakan dalam bentuk ucapan.

Alasan yang dibawa oleh kedua-dua orang imam ini ada manasabahnya dan masing masing masih mensyaratkan niat sebagai perkara utama sebelum melakukan sesuatu ibadat.

Peristiwa - peristiwa penting yang berlaku di bulan Ramadhan

Firman Allah




Selain turunnya wahyu Allah yang pertama di bulan Ramadhan, terdapat beberapa peristiwa besar yang juga berlaku dibulan yang penuh dengan barakah ini. Berikut merupakan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadhan:



17 Ramadhan 2H
Perang Badar Al-Kubra

Rasulullah SAW berangkat dari Madinah pada 8 Ramadhan. Ibnu Hisyam menyatakan bahawa perang ini merupakan kemenangan pertama yang menentukan kedudukan umat Islam dalam menghadapi kekuatan kemusyrikan dan kebatilan. Allah SWT telah mengutuskan segerombolan malaikat untuk membantu pasukan muslimin menghancurkan pasukan musyrik. Perang ini berlaku pada pagi Jumaat, 17 Ramadhan 2H di Badar. Kemenangan lebih kurang 300 orang tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah ini yang telah megalahkan lebih kurang 1000 orang tentera musyrikin Mekah.

Ramadhan 5H
Persiapan Perang Khandaq

Persiapan dilakukan dengan mengali parit (khandaq) sekeliling kota Madinah. Tipu muslihat ini tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab. Ia diusulkan oleh Salman Al-Farisy. Peperangan ini terjadi pada bulan Syawal dan berakhir pada bulan Dzulkaedah setelah pasukan muslimin berjaya memecahkan belahkan pasukan musuh.

20 Ramadhan 8H
Futuhul Makkah (Pembukaan Kota Mekah) dan Penghancuran Berhala

Rasulullah SAW keluar dari Madinah pada 10 Ramadhan dan berpuasa, lalu diikuti para sahabat. Baginda berbuka di suatu tempat yang dipanggil Mukadid (antara Asfan dengan Amjad). Mekah jatuh ke tangan kaum muslimin tanpa pertumpahan darah. Setelah penaklukan Mekah, Rasulullah tinggal di kota itu selama 15 malam dengan melakukan sembahyang qasar. Menurut Ibnu Ishaq, penaklukan itu terjadi pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Rasulullah mengutuskan Khalid al-Walid untuk menghancurkan berhala Uzza, Amr bin Ash merobohkan Suwa’, dan Saad bin Zaid Al-Asyhaly menumbangkan Manat.

Ramadhan 9H
Perang Tabuk

Ramadhan 10H
Penyebaran Islam di Yaman


Rasulullah SAW mengutuskan sepasukan tentera dibawah pimpinan Saidina Ali Karamallahu wajhah ke Yaman dengan membawa surat Nabi. Satu suku kaum yang berpengaruh di Yaman terus menerima Islam dan masuk Islam pada hari itu juga. Mereka bersembahyang berjamaah bersama Imam Ali ra. pada hari itu.

Ramadhan 53H
Kemenangan tentera Islam di Rhodesia.

Ramadhan 92H
Pembukaan Kota Andalus dan penyebaran Islam ke Afrika Utara, Iran, Afghanistan, Yemen dan Syria

Wali Khilafah Ummayyah di Utara Afrika Musa ibn Nusair, bersama-sama dengan Paglima tentera Islam, Tariq Ziyad yang megetuai 12 000 tentera Islam berdepan dengan tentera kuffar seramai 90 000 yang diketuai sendiri oleh Raja Rhoderic.

Sebelum bertempur dengan tentera Raja RhodericTariq bin Ziyad telah mengarahkan tenteranya membakar kapal- kapal perang lalu berkata, ”Sesungguhnya, syurga Allah terbentang luas di hadapan kita, dan dibelakang kita terbentangnya laut. Kamu semua hanya ada dua pilihan, sama ada mati lemas, ataupun syahid”.

Pasukan tentera Muslimin telah berjaya mengalahkan tentera-tentera kuffar pimpinan Raja Rhoderic, dan seterusnya membebaskan keseluruhan Sepanyol, Sicily dan sebahagian Perancis. Di sini, bermulanya zaman keemasan Islam di Andalus, dengan Islam menguasainya selama 700 tahun.

Ramadhan 129H
Kemenangan dakwah Bani Abbas di Khurasan dibawah pimpinan Abu Muslim Al-Khurasany.

Ramadhan 584H
Salahuddin Al Ayubi mengalahkan Tentera Salib

Panglima tentera Islam, Salahuddin Al-Ayyubi mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salib. Tentera Islam menguasai daerah-daerah yang sebelumnya dikuasai oleh tentera Salib.

Ramadhan 658H
Tentera Muslimin pimpinan Saifudin Qutuz berjaya mengalahkan tentera Tartar

Semasa kejatuhan Daulah Islam Bani Abbasiah di Baghdad, Tentera Tartar telah membunuh 1.8 juta kaum Muslimin serta mengarahkan penduduk Kristian supaya memakan babi dan meminum arak secara terbuka dijalanan dan mengarahkan agar masjid- masjid disirami dengan arak serta melarang laungan Azan.

Saifudin Qutuz, pemerintah Mesir ketika itu telah mengumpulkan semula kekuatan kaum muslimin untuk meghancurkan tentera Tartar dan bertembung dengan mereka pada Jumaat, 25 Ramadhan 658H di Ain Jalut.

Dari apa yang dipaparkan jelas menunjukkan kepada kita bahawa bulan Ramadan bukannya bulan yang melemahkan umat Islam sebalinya bulan yang banyak memberi kejayaan kepada umat Islam.

Sempena kedatangan bulan Ramadan yang penuh berkat, mari kita hayati nasyid ini



  

NAKHBAH 15 MEI 1948


Sepanjang Bulan Mei 2011 pelbagai perayaan yang akan disambut oleh seluruh rakyat Malaysia. Bermula dengan sambutan hari pekerja diikuti dengan sambutan Hari Ibu dan juga Hari Guru.
Namun kesemua perayaan ini tidak berlaku kepada saudara kita di bumi Palestin melainkan kehidupan mereka dihantui dengan perasaan pilu, sedih dan takut.

Tanggal 15 Mei 1948 merupakan hari ulangtahun peristiwa Nakbah ( Malapetaka ) iaitu satu tarikh yang menyaksikan  betapa rakyat Palestin telah kehilangan tanah air yang mereka warisi sejak turun temurun. Bukan itu sahaja orang yang mereka sayangi telah ditangkap, diseksa, dibunuh dan diperlakukan seperti haiwan.

Pada tarikh itu jugalah satu bangsa yang dilaknat Allah dengan angkuhnya telah mengisytiharkan kemerdekaan sebuah negara haram “ Israil”. Tanpa segan silu mereka telah menjadikan bumi yang mereka rampas melalui peperangan milik  rakyat Palestin sebagai hak milik mutlak mereka yang sah.

Seramai  270 ribu orang Palestin telah diusir dan 530 perkampungan Palestin telah dimusnahkan,  harta, tanah dan kebun- kebun mereka telah dirampas. Sehingga saat ini rakyat Palestin yang berstatus sebagai pelarian berjumlah sekitar 4.830 juta orang

Sejarah kewujudan negara Yahudi

Setelah nabi Musa AS wafat, Bani Israel tetap tinggal di bumi Kanaan ( Palestin ). Menurut ahli sejarah, nabi Daud AS menjadi raja Bani Israel dan membangun sebuah kerajaan berpengaruh. Selama pemerintahan anaknya nabi Sulaiman, empayar Bani Israel diperluaskan dari Sungai Nil di Selatan hingga sungai Furat di utara (Syria ). Namun setelah kewafatan nabi Sulaiman, kerajaan Bani Israel telah berpecah kepada dua kerajaan iaitu Kerajaan Israel di utara dan Kerajaan Yahuda di Selatan. Perpecahan dua kerajaan ini telah memberi ruang seluasnya kepada Kerajaan Assyurria, Babylon, Parsi dan Rom untuk menakluk dan menduduki bumi Palestin

Ramai daripada orang - orang Yahudi telah diusir dan hidup bertebaran di serata dunia. Hasrat mendiami kota suci ini dan idea penubuhan sebuah negara Yahudi moden di bumi Palestin telah dicetuskan oleh Theodor Herzl seorang Yahudi kelahiran Budapest pada tahun 1896. Pelbagai usaha dan tekanan telah dikenakan ke atas Sultan Abdul Hamid II iaitu pemerintah Daulah  islamiah ketika itu.

Oleh kerana peranan dan aktiviti Yahudi Zionis yang terlalu mendesak dan semakin menjadi-jadi, akhirnya Sultan Sultan Abdul Hamid II  telah mengeluarkan arahan pada tahun 1900 melarang rombongan penziarah Yahudi untuk tinggal lebih dari tiga bulan di Palestin serta  mengharamkan penjualan tanah di Palestin kepada Yahudi.

Pada tahun 1902, Hertzl untuk kesekian kalinya mengadap Sultan Abdul Hamid  II untuk melakukan penyogokan (rasuah) agar meyerahkan bumi Palestin kepada bangsa Yahudi. Di antara sogokkan yang Hertzl  tawarkan kepada Sultan adalah

1. 150 juta pound sterling Inggeris khusus untuk Sultan.
2. Membayar semua hutang pemerintah Ustmaniyyah yang mencecah 33 juta pound sterling Inggeris.
3. Membangun kapal induk untuk pemerintah, dengan biaya 120 juta Frank
4. Memberi pinjaman 5 juta pound sterling tanpa bunga.
5. Membangunkan Universiti Ustmaniyyah di Palestin.

Namun kesemua tawaran ini ditolak oleh Sultan menyebabkan orang orang Yahudi berang dan melancarkan gerakan menumbangkan pemerintahan Daulah Uthmaniah. Akhirnya pada 27 April 1909 ( Selasa 6 Rabiul Akhir 1327H ), Sultan Abdul Hamid II telah digulingkan dari kekuasaannya.

Tanggal 2 November 1917, menteri luar British Lord Balfour menandatangani Deklarasi Balfour untuk membangun sebuah negara yahudi di bumi Palestin. Sebulan kemudian masuklah tentera British ke Baitul Maqdis (Jerusalem). British telah diberi mandat untuk mentadbir  bumi Palestin.

Natijah daripada mandat ini maka seramai 75,000 lagi orang Yahudi  telah dibawa masuk ke Palestin pada tahun 1920 tanpa mendapat restu dari mana- mana Negara-negara Arab.

Pada 15 Mei 1948 British telah mengakhiri mandatnya atas Palestin. Di hari yang sama Ben Gurion  mengisytiharkan akan kemerdekaan sebuah Negara Yahudi di Tel Aviv. Tentera – tentera Yahudi  telah dikerah dalam operasi mengusir orang orang Palestin. Ramai di antara mereka yang ditangkap dan dibunuh secara kejam oleh gerombolan teroris Israel. Mereka yang selamat telah melarikan diri ke Lubnan, Syria, Jordan, Mesir, Yaman dan beberapa negara Teluk. Sehingga kini mereka hidup dalam buangan dan tidak dapat kembali ke kampung halaman mereka.

Enam puluh tiga tahun trajedi menyayat hati ini telah berlalu maka selama enam puloh tiga tahunlah  qiblat pertama umat islam telah jatuh ke tangan Yahudi Laknatullah.




  

SOLAT SUBUH


Pak Haji Dollah mempunyai seorang anak gadis yang lemah lembut dan manis bernama Aminah. Kejelitaan Aminah menjadi igauan dan bualan setiap pemuda tempat tinggal Pak Haji Dollah .

Mamat adalah salah seorang pemuda yang kacak telah tertarik hati dengan ketampanan Aminah ini. Mengurat punya mengurat tersangkutlah dua hati ini. Pak Haji Dollah jenis yang memilih sangat orangnya, tambahan pulak si Mamat ini pandai berlakon, depan Pak Haji Dollah dia bukan main warak lagi, berkopiah di kepala.

Setelah berpuas hati dengan calon menantu maka ditetapkan hari perkahwinannya. Semasa upacara akad nikah, segalanya berjalan lancar sebagaimana yang dirancang.Mamat berjaya melafazkan akad nikah dengan sekali lafaz sahaja. Ini bermakna Aminah kini telah menjadi isteri Mamat yang sah.

Selepas semua tetamu pulang, maka bermulalah episod kemas mengemas rumah. Segala pinggan mangkuk, periuk belanga dicuci dan disimpan.Lepas makan malam Pak Haji Dollah sekeluarga meluangkan masa beramah mesra dengan Mamat, menantu sulungnya.

Asyik berborak tak sedar hari dah larut malam. Pada malam itu Pak Haji Dollah sekeluarga agak lewat sedikit masuk tidur. Begitu juga dengan pasangan Mamat dan Aminah pun lewat jugak lah masuk tidur.
Tepat jam 5.30pagi, Pak Haji Dollah mengejutkan semua isi rumah untuk solat subuh. Semua isi rumah pun bangun. Oleh kerana terlalu letih Mamat telah terlewat bangun. Pendekkan cerita Mamat tak sempat solat Subuh berjemaah dengan Pak Haji Dollah walaupun telah dikejutkan awal oleh isterinya Aminah.
Pak Haji Dollah pun menyuruh menantunya itu solat sendirian ketika ahli keluarga lainnya sedang berwirid. Si Mamat pun qamat dan mendirikan solat subuh seorang diri.
Selepas Mamat selesai solat dan memberi salam. Pak Haji Dollah  menegur Mamat, "Hai Mat kenapa solat subuh tiga rakaat?"

Lantas Mamat pun menjawab
"eh.. ya ke? tiga rakaat...? rasa-rasanya..... dah cukup empat rakaat tadi"

Masya Allah.. mengucap panjang Pak Haji Dollah. Aminah tersenyum tersipu malu dengan gelagat suaminya. Sahlah Mamat tak pernah sembahyang subuh! Kantoi..kantoi. ..